
Begitu juga seorang anak kecil yang baru mula mengnal dunia, mereka belajar daripada meniru semua yang mereka lihat. Mereka akan meniru bunyi perkataan yang keluar dari mulut kedua ibubapa, meniru perbuatan yang dilakukan oleh rakan sebaya, malan mereka belajar bagaimana mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan daripada bagaimana orang sekeliling mereka mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan.
Sekiranya ibubapa memaksa mereka untuk mendapatkan apa yang ibubapa inginkan dari mereka, begitu jugalah sebaliknya, mereka akan memaksa ibubapa untuk tunduk dan mengikuti perintah mereka.
Sekiranya ibubapa memukul untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan, mereka juga akan cenderung untuk memukul untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.
Namun, sekiranya ibu bapa sentiasa berlembut dengan mereka, dan mereka selalu menang, mereka akan menganggap seluruh dunia akan bersikap demikian dengan mereka nanti, mereka tidak akan jadi seorang yang cekal.
Mendidik anak adalah seni. Seni menyeimbangkan antara kemenangan dan kekalahan, perkara yang betul dan perkara yang salah, perkara yang indah dan perkara yang buruk, kerana semua itu adalah lumrah kehidupan, dan apa yang anak dapat belajar dari setiap peristiwa yang berlaku.
Mendidik anak bukanlah seperti menanam pokok, atau membina banngunan. Ia juga bukan seperti melakukan pengiraan matematik, di mana semua itu mempunyai rumus-rumus yang tersendiri dan tidak boleh berubah.
Mendidik anak adalah seni, yang diasaskan oleh kecintaan kedua ibubapa terhadap seorang anak, dicampur dengan bagaimana pemerhatian dan usaha yang mereka curahkan, dipandu oleh ilmu pengetahuan, baik dari sudut memahami emosi, membina kebijaksanaan, mendidik akhlak dan sopan santun, yang akhirnya mengajar mereka, seorang anak, tentang hakikat kehidupan.
Bagaimana Rasulullah SAW pernah menyebut :
"Ajaibnya seorang mukmin, semua yang berlaku kepadanya adalah kebaikan, dan perkara ini tidak akan didapati kecuali pada seorang mukmin. sekiranya mereka diberikan nikmat maka mereka bersyukur, maka nikmat itu jadi baik buat mereka. Manakala sekiranya mereka ditimpa musibah, mereka bersabar, maka musibah itu juga jadi baik buat mereka."
Anak kecil yang belajar dari peniruan perlu berhadapan dengan dunia sebenar, bukannya dunia yang dikawal oleh kedua ibubapa. Dan dari peristiwa-peristiwa yang mereka lihat, ajarkan apa itu hakikat kehidupan, bagaimana sepatutnya mereka bertindak dan apa erti disebalik peristiwa tersebut.


















Sertai kami sekarang dan dapatkan pelbagai kelebihan
Comments
RSS feed for comments to this post.