SHARE

Saya kongsikan kisah bagaimana ibu bapa Imam Malik mendidik beliau sehingga beliau sendiri memilih jalannya sendiri.

ajar anak

Sewaktu kecil, Imam Malik adalah seorang budak yang minat menyanyi dan bermain dengan burung merpati sehingga sedikit waktu sahaja beliau habiskan untuk mengulangkaji pelajaran.

Berdasarkan keputusan dalam pengajian, beliau adalah dikalangan yang terkebelakang berbanding dengan saudara-saudaranya yang lain kerana tidak peduli dengan pelajaran dan sibuk dengan minatnya sendiri.

Ibu dan ayahnya amat menaruh harapan Imam Malik akan mejadi seperti mendiang datuknya yang alim dan faqih dalam ilmu agama.

Sehinggalah pada suatu hari ayahnya mengambil keputusan untuk mengadakan pertandingan soal jawab ilmiah setiap kali selesai solat jumaat. Hasilnya, adik kepada Imam Malik jauh lebih kehadapan berbandingnya.

Ayahnya tersenyum melihatnya sambil berkata:

“Burung merpatimu telah lalaikan kamu daripada menuntut ilmu.”

Perkataan itulah yang hanya diucapkan oleh ayahnya. Bukan berbentuk arahan atau kerahan. Sebaliknya ialah petunjuk secara tidak langsung kepada anaknya.

Selepas itu Imam Malik pun berkata:

“Aku berasa marah apabila adik mendahuluiku dan aku mengambil keputusan untuk menunjukkan kepada ayah pencapaianku dalam bidang lain. Aku membuat keputusan untuk berjaya dalam nyanyian.”

Disinilah pula kita dapat melihat peranan seorang ibu yang inginkan kejayaan anaknya ketika ia berkata:

“Wahai Malik, seorang penyanyi itu jika tidak mempunyai suara yang merdu walaupun baik paras rupanya tetap tidak akan dipandang manusia.”

Ibunya tidak melontarkan ucapan berunsur penghinaan. Ia tidak mengatakan bahawa suaranya buruk atau memberikan arahan sepertimana ibu bapa pada hari ini yang hanya mengeluarkan arahan kerahan dan paksaan kepada anak sendiri.

“Pergi minum!, Cepat makan!, Baca buku tu sekarang…..”

Ini bukanlah tarbiyah! Tarbiyah ialah dengan cara meningkatkan kemampuan anak. Kemudian Imam Malik berkata:

“Habis, apa yang patut saya lakukan?”

“Kamu tidak akan kehadapan dalam nyanyian, tetapi kamu mungkin akan kehadapan dalan ilmu.” kata ibunya.

Pada malam hari, sebelum tidur beliau berfikir sejenak. Pada keesokan harinya ibunya datang.

“Nak. Ini hadiah baju aku belikan untukmu.”

Ibunya menghadiahkan sepasang baju ulama’. Imam Malik memakai baju tersebut dan meletakkan songkok ulamak di atas kepala dan terus keluar dari rumah.

“Apabila aku keluar dengan pakaian begitu, orang ramai melihatku. Maka aku berasa hebat pada ketika itu.”

Terus Imam Malik masuk semula ke rumah seraya berkata:

“Aku mahu ilmu, aku mahu ilmu!”.

Lihatlah! Beliau sendiri yang meminta dan ingin menimba ilmu. bukan paksaan atau atas kemahuan ibu bapa atau orang lain. Tetapi ia adalah kehendak sendiri dan timbul dari kemahuan sendiri. Maka itulah yang menjadikan beliau seorang alim dan faqih dalam bidangnya.

“Pergilah kepada seorang alim di madinah bernama Rabi’ah. Tuntutlah adabnya dahulu sebelum ilmunya.” Kata ibunya.

Tarbiyah yang kini semakin hilang dek kerana kesibukan dan kesuntukan masa ibu bapa. Sukar memikirkan apakah jalan terbaik untuk memberi motivasi kepada anak. Namun, ia masih belum terlambat. Kita masih punya masa selagi mana diri kita masih bernafas. Bermula sekarang, bertindaklah!

SHARE

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY