SHARE

cara penjagaan bayi dalam kandungan

Perasaan seronok dan bersyukur pastinya dirasai oleh pasangan pengantin yang baru mengetahui mereka bakal menimang cahaya mata. Malah bakal atuk dan nenek juga akan turut gembira dengan berita tersebut. Sesetengah orang menganggap bahawa kelahiran seorang cahaya mata merupakan pelengkap kepada sebuah keluarga.

Pada awal kandungan, ibu akan mula rasa mudah letih, pening kepala, mual, dan tegang kerana perubahan hormon dalam badan. Kemudian ibu akan mula rasa bayi bergerak, menendang dan bertindakbalas dengan rangsangan yang diberikan. Pada hujung kandungan, ibu akan mula melakukan persiapan untuk menerima orang baru di rumah.

Namun, adakah para bakal ibu dan bapa ini tahu langkah-langkah yang perlu diambil dalam keadaan tertentu dan cara-cara menjaga kandungan sejak awal? Di bawah saya kongsikan beberapa tips penjagaan bayi dalam kandungan dan pengetahuan tentang kesihatan ibu hamil.

pemakanan ketika hamil1. Penjagaan Pemakanan Ibu Hamil

a) Mengambil makanan dengan nutrisi seimbang adalah amalan penting bagi ibu hamil. Ia bukan sahaja penting bagi kandungan malah bagi kesihatan ibu sendiri. Penjagaan kesihatan dan pemakanan sewaktu hamil haruslah diambil serius kerana pemakanan yang tidak seimbang dan tidak sihat akan membahayakan kandungan.

b) Zat yang diperlukan oleh ibu hamil seperti asid folik, iron, ferum, zat besi, protein, dan banyak lagi haruslah diambil dengan seimbang. Zat-zat ini boleh didapati daripada makanan harian dan juga pil-pil yang banyak berada di pasaran. Pengambilan Vitamin C oleh ibu hamil sangat penting kerana ia berfungsi membantu penyerapan zat-zat lain kepada bayi. Makanan seperti kekacang, pisang dan buah-buahan lain juga akan melancarkan perjalanan darah dalam badan dan membantu tumbesaran bagi bayi yang dikandung.

c) Pengambilan garam dalam makanan haruslah dikurangkan bagi ibu hamil. Hal ini kerana pengambilan garam berlebihan akan meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan bengkak pada pergelangan kaki, tapak kaki, muka dan jari. Sebagai ganti atau pengimbangnya, ibu hamil disarankan memakan pisang yang mengandungi potasium. Ia mampu menstabilkan tekanan darah.

2. Penjagaan Fizikal Ibu Hamil

a) Ibu hamil tidak perlu rasa tertekan dengan perubahan bentuk badan, wajah dan fizikal. Perasaan malu dengan bentuk badan dan wajah yang kadangkala sembap akan menurunkan rasa percaya diri.

b) Untuk ibu kekal ceria, cergas dan positif, saya sarankan ibu hamil melakukan senaman ringan samada di rumah atau luar. Contohnya berjalan-jalan di sekitar taman, berenang dan aktiviti senaman di rumah yang sesuai bagi ibu hamil.

3. Penjagaan Emosi Ibu Hamil

a) Apabila perubahan hormon berlaku, maka emosi ibu juga terganggu. Namun, ibu hamil haruslah bijak mengawal emosi dan mengenal emosi sendiri kerana ia boleh mempengarui emosi bayi dalam kandungan.

b) Selain kurang bersenam, pemakanan juga mempengarui emosi ibu hamil. Contohnya pengambilan gula yang terlalu banyak akan mengundang keletihan. Seterusnya meningkatkan kadar stress seorang ibu hamil.

c) Suasana atau persekitaran yang baik akan meningkatkan pemikiran positif seorang ibu hamil. Maka, amat penting bagi seorang suami dan rakan-rakan untuk memberi sokongan dan pertolongan yang sewajarnya kepada seorang ibu yang sedang hamil.

4. Mengetahui Tanda Bahaya ketika Hamil

a) Walaupun kita bukan seorang ahli perubatan, sekurang-kurangnya seorang ibu hamil tahu tanda-tanda bahaya dan cara mengatasinya.

b) Mual dan muntah adalah simptom biasa bagi ibu mengandung terutama pada trimester pertama, namun jika ia berlebihan  sehingga ibu hamil terlalu letih, makanan tidak tahan lama selepas diambil, ibu hamil dehidrasi, maka ia adalah suatu yang perlu diambil berat.  Hiperemesis gravidarum atau muntah terlalu kerap adalah masalah yang perlu diatasi dengan berjumpa doktor. Kebiasaannya ibu hamil akan ditahan di ward dan dirawat di  hospital sehingga kembali stabil.

c) Kurang darah atau Anemia akan membuatkan seorang ibu hamil keletihan, pucat dan pening kepala. Amat penting penjagaan makanan jika ibu hamil dapat mengetahui awal tentang keadaan kesihatannya. Lebih membimbangkan, anemia boleh membahayakan nyawa si ibu apabila kehilangan darah terlalu banyak ketika proses kelahiran.

d) Sepanjang tempoh kehamilan, sekurang-kurangnya berat ibu hamil haruslah bertambah sebanyak 6kg. Pertambahan berat ini adalah disebabkan pertumbuhan janin. Jika berat ibu tidak bertambah, bermakna ibu kekurangan gizi dalam pemakanan atau pertumbuhan bayi terganggu.

e) Pendarahan pada usia kandungan berapa sekalipun merupakan tanda yang bahaya dan perlu diambil serius. Pada usia awal kandungan, pendarahan menjadi satu tanda keguguran. Ketika ini ibu hamil perlu mendapatkan pemeriksaan seterusnya berehat dengan baik. Jika pendarahan berlaku pada trimester kedua atau ketiga, kadangkala ia merupakan petanda bahawa plasenta berada di bahagian bawah seterusnya menghalang laluan kelahiran bayi. Dan jika pendarahan berpanjangan berlaku selepas proses kelahiran, ia bahaya bagi ibu. Dapatkanlah nasihat dan rawatan doktor bagi mengelakkan sebarang keadaan yang tidak diingini.

Jadi, sebagai kata akhir, saya menyeru agar ibu hamil terutama kehamilan pertama mengambil tahu tentang keadaan diri anda dan juga mengetahui perkara asas dalam kehamilan. Malah para suami juga haruslah berperanan dalam membangun emosi positif si ibu. Sokongan suami sekaligus menjadikan ibu hamil tetap sabar dan positif dalam jangka masa 9 bulan. Saya sarankan para ibu berkongsi maklumat ini bersama suami supaya pasangan yang bakal menimang cahaya mata ini dapat mengambil langkah yang tepat dalam apa keadaan sekalipun.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY