Your are here: Home // Artikel luar // Kenali emosi anak

Kenali emosi anak

Ibu bapa perlu membimbing, fahami perasaan anak ketika usia semakin meningkat supaya pemikiran tidak terganggu. Kehadiran anak dalam sebuah perkahwinan memberikan makna besar kepada insan bergelar ibu dan bapa. Permata hati disambut riang gembira. Saban hari bertukar ganti, daripada telapak kaki sebesar dua jari hingga ke pandai ‘berdiri sendiri’, ibu bapa kadang kala terasa semakin jauh dengan anak yang dilahirkan.

Senario seperti ini bukan perkara baru, malah segelintir ibu bapa sendiri mengakui, semakin anak itu membesar, semakin sukar dikawal pergerakan mereka. Seorang teman menyebut ‘kalau masih kecil, bolehlah dipukul, ditampar, tapi bila sudah besar, dia pula yang memukul aku nanti’.

Realitinya bayi yang lahir ke dunia ini diciptakan memiliki emosi yang tidak sama. Ibu bapa tidak boleh menyangka sekiranya perangainya baik, maka anaknya akan mengikut perangai yang serupa. Sedikit sebanyak mungkin ada benarnya kerana pendidiknya adalah kita sebagai ibu bapa.

Tetapi pengaruh luaran kadangkala memberikan impak lebih besar kepada anak itu nanti. Sebab itulah mendidik anak perlu dilakukan mengikut zaman mereka berada, dan tidak sesuai mengamalkan didikan ‘zaman dulu’ kepada anak zaman ini.

Bagaimanapun, ramai pakar kanak-kanak bersetuju, andai emosi anak ditangani dengan baik sejak kecil, pergerakan mereka ‘lebih mudah dikawal’, umpama menekan alat kawalan jauh. Emosi yang stabil membantu melahirkan anak lebih cemerlang, emosi yang terganggu pula melahirkan anak sebaliknya.

Emosi dikaitkan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam kehidupan seseorang. Ia menunjukkan pelbagai aspek termasuk negatif atau positif, kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat dan perancangan.

Pensyarah Psikologi Perkembangan Dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mastura Badriz, berkata ilustrasi emosi yang terlihat dalam kehidupan harian kanak-kanak berfungsi sebagai satu cara bagi komunikasi untuk memberitahu dan menyatakan keperluan mereka.

“Segelintir anak yang menangis, besar kemungkinan mereka berasa takut dan memerlukan perlindungan daripada ibu bapa mereka. Kanak-kanak selalunya belum mengenali konsep masa. Sama ada sekejap atau lambat, asal saja ibu bapa tiada depan mata mereka akan mula menangis.
“Kadangkala ibu bapa selalu merungut ‘budak ni, aku tak ada depan mata seminit pun menangis’. Mereka hanya tahu, bila tiada ibu bapa depan mata, maka sudah tidak selamat,” katanya pada Seminar Celik Emosi anjuran Hal Ehwal Wanita (Helwa), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru-baru ini.

Beliau berkata, kanak-kanak menyuarakan ‘isi hati’ menerusi emosi yang ditonjolkan dan ibu bapa selalunya adalah idola kepada mereka. Segelintir ibu bapa yang marah terhadap anak andai menjerit, tetapi pada masa sama si ibu atau ayah tetap mengherdik seperti ‘mak kata jangan menjerit’.

Penggunaan intonasi yang tinggi, sedangkan ibu inginkan anak bersuara rendah, menjadi anak berkenaan keliru dengan apa yang diperkatakan. Memandu atau menangani emosi anak ke arah positif adalah perlu dalam usaha melahirkan anak yang seimbang.

“Setiap anak itu unik dan tersendiri. Along dan angah mungkin mempunyai emosi yang berlainan. Dalam usaha mengenali anak, ibu bapa perlu memahami emosi mereka kerana kita tidak mahu anak membesar dalam emosi yang terganggu.

“Ada anak yang sensitif tetapi ada anak yang merajuk mahu dirinya dipujuk serta dirayu. Andai betul caranya, kita ‘melayan’ emosi mereka, si kecil akan membesar merasa dirinya dihargai dan diperlukan, bukan dibiarkan bersendirian dan dibenci,” katanya.

Jenis Emosi atau Perasaan dan implikasi pada kanak-kanak:

Gembira – Membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.

Marah – Membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.

Takut – Rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.

Sedih – Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.

Geli - Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.

Cemas – Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.

Malu – Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Rasa bersalah - Wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ’standard’ tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.

Rasa bangga – Tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.

Perkembangan Awal Emosi (bayi 0-15 bulan)

Emosi asas (positif dan negatif) berkembang secara ‘gradual’ terutama dalam tempoh enam bulan pertama dan selalunya ditonjolkan menerusi memek muka dan ‘eye contact’:
- gembira/seronok – senyum, pipi terangkat, mata berbentuk bulan sabit. Contoh – bila diagah.
- terkejut – angkat kening, mulut terbuka luas, bulatkan mata. Contoh – berhenti menangis bila dengar bunyi muzik atau suara jeritan
- minat – merenung, mengerutkan kening dan bibir. Contoh – merenung wajah ibu, melihat persekitaran
- marah – mengerut dan memasamkan muka, kening turun naik, mata tajam. Contoh ‘mengamuk’ bila mengantuk atau lapar, bila objek ‘dirampas’ daripada tangan.
- Sedih – muka masam dan layu, dagu tertolak ke hadapan. Contoh – ditinggalkan ibu
- Geli- berkerut kening, jelir lidah. Contoh – ‘menolak’ jenis makanan tertentu, menangis bila buang air.

Bayi antara 3 – 8 minggu sudah boleh tersenyum- perkembangan awal emosi positif. Bayi 12- 20 minggu – senyum pada wajah dan suara dikenali; senyum bila merasakan persekitaran ‘dikuasai’, mula ketawa.

- Enam bulan pertama bayi masih belum mempunyai rasa sayang/ kasih pada sesuatu/seseorang.

- Perasaan kasih mula terbentuk ketika usia antara 7 hingga 9 bulan – melalui hubungan ikatan kasih sayang, sentuhan, belaian dengan orang yang paling hampir seperti ibu dan ayah, menunjukkan rasa tidak senang/takut dengan kehadiran ‘orang asing’.

Emosi anak tatih (16-36 bulan)

Emosi turun naik seperti ‘roller coaster’
Usia 2 tahun : sudah tahu menunjukkan emosi dan emosi yang ditunjukkan memang disengajakan – tidak ragu-ragu untuk melakukannya.
Mahu ‘bebas’ tetapi tidak mahu ditinggalkan bersendirian – rasa diri ’sudah besar’ tetapi mahu dibelai.
‘reject syndrome’ – dalaman kanak-kanak bukan ‘menentang’ ibu bapa.
‘temper tantrum’ (tidak mampu meluahkan perasaan sepenuhnya dalam bentuk perkataan/verbal)

Berbagai bentuk perasaan takut: bunyi bising, suara binatang, bilik gelap, ‘hilang’ ibu bapa, perubahan persekitaran dan sebagainya (takut pada apa saja yang ‘dianggap’ bahaya).
Emosi anak prasekolah (36 bulan hingga ke usia enam tahun)

Usia 3-4 tahun sudah boleh memahami perkaitan antara emosi dan persekitaran/ sebab yang mempengaruhi emosi. Mula belajar mengawal emosi yang turun naik. Pemahaman terhadap emosi orang lain terbatas hanya kepada emosi yang ditunjukkan melalui memek muka. Perasaan takut yang terbentuk berkait dengan imaginasi dan khayalan berserta perkembangan daya kreativiti dan pemikiran abstrak. Contohnya takut hantu, takut jatuh. Lebih berdikari, kurang physical contact dengan ibu bapa. Lebih banyk bercakap untuk mencurah perasaan/menangani perasan.

Perkembangan emosi kanak-kanak usia pertengahan (7-14 tahun)

Sudah pandai menyembunyikan emosi yang negatif dengan berpura-pura menunjukkan keseronokan. Sudah mula memahami dan menghurai emosi yang kompleks : perasaan malu, rasa bersalah, rasa bangga dan cemburu. Perasaan takut mula berkembang kepada yang lebih realistik – takut sekolah, takut berkomunikasi, takut kejadian jenayah. Mahu disayangi tetapi bukan ditonjolkan depan ramai. Amat memerlukan bantuan mengenalpasti emosi marah agar tidak ‘out of control’; belajar mengawal perasan. Perlu perhatian dan dorongan mengatasi rasa takut. Mula memahami keperluan kumpulan.

Diambil dari : anak-teladan.blogspot.com

Artikel Berkaitan:

    Pendidikan anak : emosi
    Aktiviti Mengawal Emosi Anak
    Kecerdasan Emosi (EQ) yang Tinggi Bantu Anak Berjaya
    Emosi Kanak-Kanak : Marah
    Menangani Perasaan Negatif Anak

Anda rasa entri ini bermanfaat? Isikan emel anda di bawah supaya anda tidak terlepas entri-entri bermanfaat yang lain.


filed under: Artikel luar

Leave a reply

Copyright © 2009 Blog Anakkusayang : Bicara Pendidikan Anak . All rights reserved.
designed by alfatihstudio.